Wednesday, June 20, 2007

Tibet 'pusara' makhluk asing

Tibet 'pusara' makhluk asing

Misteri: Tibet 'pusara' makhluk asingOleh Nasron Sira Rahim (nasron@bharian.com.my)

Fizikal Dropa yang ditemui berbeza dengan jasad manusia

RAHSIA tulisan aneh pada cakera kuno yang ditemui dalam gua di pergunungan Tibet pada 1938 akhirnya terungkai selepas 20 tahun kekal misteri.

Kod tulisan berkenaan dipecahkan Dr Tsum Um Nui dari Universiti Peking, China yang menjalankan kajian tulisan pelik yang tidak pernah wujud di dunia ini sehingga membolehkan beliau membaca catatan kuno yang ditulis pada cakera itu.

Sebaik membaca catatan terbabit, Dr Tsum terkejut kerana tulisan aneh itu menyimpan satu catatan mengenai peristiwa besar yang pernah berlaku puluhan ribu tahun lalu.

Dr Tsum pada mulanya kebingungan memikirkan peristiwa yang tercatat di sebalik tulisan kuno itu. Begitu juga kewujudan cakera terbabit, kejadian yang tercatat di atasnya juga adalah satu peristiwa misteri dan fiksyen yang bertentangan dengan hukum logik akal.




Cakera itu ditemui pada 1938 oleh sekumpulan ahli arkeologi universiti terbabit di sebuah gua pergunungan Bayan Kara-Ula. Ketika sedang menjalankan kerja mencarigali di gua terbabit, penyelidik menjumpai satu kawasan kubur purba di dalamnya.

Kubur itu dibuat dengan sangat rapi dan di dalamnya ditemui tulang kerangka yang mirip jasad manusia. Bentuk kerangka itu kecil tetapi bahagian tengkoraknya lebih besar berbanding kerangka tubuh.

“Mungkin tulang ini milik spesies gorila gunung yang masih belum ditemui sesiapa,” andai seorang daripada ahli penyelidik.

“Siapa pernah mendengar yang spesies gorila mengebumikan jasad gorila lain?” bidas Prof Chi Pu Tei, yang mengetuai ekspedisi itu. Dia mungkin masih bingung memikirkan yang kawasan kubur dalam gua itu begitu teratur sekali gus membuktikan ia mungkin dibina spesies yang mampu berfikir.

Di samping kerangka aneh dan kubur itu, turut tersembunyi artifak misteri berupa cakera yang terdapat lubang di tengahnya (bentuk itu menyerupai cakera padat pada zaman ini).

Cakera yang dianggarkan memiliki diameter berukuran 20 sentimeter (sm) itu ditemui tertutup oleh lapisan debu dan terletak di sudut gua. Kajian lanjutan terhadap artifak itu kemudian menemui satu fakta mengejutkan - cakera itu dihasilkan pada 12,000 tahun lalu.

Kebingungan semakin mengasak minda penyelidik tatkala memikirkan apakah pada 12,000 tahun lalu, ada alat untuk membuat cakera itu dan apakah tujuan ia dihasilkan? Lebih membingungkan mengenai sekitar lubang di tengah cakera, terdapat goresan teratur menyerupai bentuk tulisan yang sangat kecil.

Tanpa ada sesiapa yang dapat menterjemah maksud tulisan itu, ia dibawa ke Universiti Peking untuk dikaji lebih lanjut. Selepas berhempas pulas selama 20 tahun, akhirnya kod tulisan itu berjaya dipecahkan.

Dr Tsum memerhati tulisan asing berkenaan, kemudian mula menterjemah catatan rahsia yang tersembunyi pada cakera purba itu. Antara lain catatan rahsia itu menceritakan satu kejadian misteri seperti berikut:

Pada zaman dulu (kira-kira 12,000 tahun lalu), sebuah pesawat dari luar angkasa terhempas di kawasan pergunungan itu. Pesawat terbabit rosak teruk sehingga tidak mampu lagi untuk dibaiki.

Ia sekali gus menyebabkan makhluk dalam pesawat terbabit tidak dapat kembali ke tempat asal mereka dan terpaksa menghuni di kawasan pergunungan terbabit.

Kejadian pesawat angkasa lepas yang terhempas itu menggemparkan penduduk pergunungan iaitu suku Ham. Mereka bergegas ke kawasan pesawat yang terhempas itu dan terkejut melihat fizikal makhluk daripada kapal angkasa itu, agak berbeza dengan jasad manusia.

Menyangka kehadiran makhluk asing dan peristiwa pesawat angkasa terhempas itu sebagai ancaman terhadap keselamatan mereka, suku Ham kemudian memburu dan membunuh makhluk asing berkenaan yang digelar suku ‘Dropa’.

Kumpulan makhluk asing yang terdiri daripada perempuan dan kanak-kanak berusaha menyelamatkan diri dengan bersembunyi di gua terbabit yang akhirnya menempatkan kubur dan cakera berkenaan.

Catatan rahsia yang dipecahkan Dr Tsum itu kemudian semakin membingungkan apabila cerita yang tertera pada cakera didapati hampir menyamai kisah legenda penduduk setempat iaitu makhluk daripada angkasa yang berbadan kurus, kecil tetapi berkepala lebih besar pernah wujud di kawasan gunung itu.

Pada 1965, penyelidik berhasil menemui 716 cakera dalam gua itu. Seorang penyelidik Russia, W Saitsew yang melanjutkan kajian Dr Tsum mendapati cakera itu diperbuat daripada campuran kobalt dan sejenis besi misteri yang tidak dapat dikenal pasti. Beliau juga mengandaikan yang cakera itu adalah sebahagian daripada komponen litar elektrik.

Selain itu, pada dinding gua itu juga ditemui gambar matahari, bulan, sebuah bintang yang belum dikenal pasti dan planet Bumi yang keseluruhannya dihubungkan oleh sebuah garis titik-titik.

FAKTA: Kaum Dropa

Pengkaji UFO dan makhluk asing menjadikan Cakera Dropa sebagai antara bukti kewujudan makhluk dan pesawat misteri itu di Bumi.

Keturunan suku kaum Dropa dikatakan masih wujud di kawasan pergunungan itu.

Suku Ham dan kaum Dropa dikatakan akhirnya berdamai. Kaum Dropa kemudian dikatakan menurunkan ilmu ‘angkasa’ mereka berkaitan teknologi kepada bangsa Ham menyebabkan bangsa Cina lebih maju daripada bangsa Eropah, ribuan tahun lalu.

Cakera Dropa diperbuat daripada campuran kobalt dan sejenis besi yang tidak dapat dikenal pasti.

Kumpulan skeptikal menafikan kewujudan cerita makhluk asing yang tertulis pada cakera berkenaan.

No comments: